Al-A'raaf: Ahli Syurga Paling Miskin


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara keduanya (syurga dan neraka) ada tembok 'al-A'raaf' (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok al-A'raaf itu ada sebilangan orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli syurga (dengan memberi salam, katanya): Salaamun Alaikum (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk syurga, pada hal mereka ingin sangat memasukinya. Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang yang zalim." (Surah al-A'raf, ayat 46-47)




Menurut Imam al-Qurtubi, al-a'raaf dari segi bahasa ialah tempat mulia atau ditinggikan dan dapat melihat orang melalui titian sirat untuk memasuki syurga atau neraka. Perkongsian melalui slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menceritakan Rasulullah SAW menyebut, "Pada suatu hari akan dikumpulkan manusia pada Hari Kiamat dan akan diperintah penghuni syurga untuk masuk ke dalam syurga, manakala penghuni neraka masuk ke dalam neraka. Kemudian penghuni al-a'raaf akan dipanggil Allah lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu lihat? Dijawab: Kami melihat apa yang Kamu sebut, benar-benar terjadi ya Allah. Lalu dikatakan kepada mereka: Sesungguhnya kebaikan kalian melampaui batas untuk dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi untuk memasuki syurga, ada kesalahan yang kalian lakukan. Oleh itu, masuklah kalian ke dalam syurga dengan pengampunan dan kasih sayang Allah SWT." 



Di dalam kitab K'ab al-Ahbar, diceritakan ada dua lelaki yang bersahabat ketika di dunia. Salah seorangnya berjalan menemui sahabatnya yang sedang menuju ke neraka. Lalu dia berkata kepada sahabatnya itu, "Demi Allah, tidak ada yang tinggal padaku kecuali satu kebaikan yang boleh menyelamatkanku. Ambillah wahai saudaraku, mungkin kamu akan selamat dan kita menjadi penduduk al-a'raaf. Kemudian Allah memerintahkan kedua-duanya dimasukkan ke dalam syurga.

Pendapat ulama menyatakan, ini adalah di antara orang yang digambarkan dengan ahli syurga yang paling miskin sekali di akhirat nanti ialah al-a'raaf. 


Abu Hamid menceritakan dalam kitabnya Kasyhful Ulum al-Akhirah, seorang lelaki dibawa pada Hari Kiamat, namun tiada satu pun kebaikan memberatkan timbangannya yang sama berat di antara amal baik dan amal buruknya. Allah SWT memerintahkannya mencari satu lagi kebaikan supaya melayakkannya memasuki syurga. Lalu lelaki ini mula mencari ke seluruh alam mereka yang akan memberikan amalan baik mereka kepadanya. Setiap orang yang ditemui menyatakan kebimbangan mereka amalan kebaikan akan berkurangan, sedang mereka lebih memerlukannya berbanding lelaki itu. Lama-kelamaan lelaki itu mula berputus asa, lalu datang seorang lelaki lain bertanya apakah yang dicarinya. Dijawab bahawa dia sedang mencari satu sahaja lagi amal kebaikan bagi membolehkannya memasuki syurga Allah SWT. Lelaki itu pula berkata kepadanya bahawa dia telah bertemu dengan Allah SWT dan mempunyai hanya satu amalan baik dan tidak membawa manfaat kepadanya kerana dia akan dihumban ke dalam neraka. Lalu dia memberikan amal baiknya kepada lelaki yang memerlukan satu lagi amal kebaikan untuk memasuki syurga itu. Kemudian dia dipanggil dan disoal Allah SWT kenapa amal baiknya diberikan kepada lelaki itu dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Demi kemuliaan-Ku, lebih luas daripada kemuliaan kamu, ambillah tangan saudaramu yang telah kamu berikan amal baikmu kepadanya tadi, dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga." 

Demikian juga orang yang timbangan amalnya sama berat. Allah SWT berfirman kepadanya yang bermaksud: "Kamu bukan penghuni syurga dan bukan penghuni neraka. Lalu pemilik lembaran itu meletakkan kitab mizannya, dan keluar kalimah derhaka (Cis!) yang pernah disebutkan kepada ibu bapanya, yang dosanya seberat gunung. Kerana dosanya itu maka dia dihumbankan ke neraka. Setelah dibawa ke neraka, lelaki itu meminta dibawa semula untuk menemui Allah SWT. Dia menyatakan ketika berada di sana, dilihat ayahnya juga menjadi ahli neraka dan meminta Allah SWT menambah seksaan kepadanya dan menyelamatkan bapanya dengan pahalanya sebelum ini. Abu Hamid menyebut di dalam kitabnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Di dunia kamu menderhakainya, tetapi di akhirat kamu berbuat baik kepadanya. Ambillah tangan bapamu dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga."

Comments

Popular posts from this blog

BVSM - Tipu ke Betul atau sandiwara MLM?

Duit Insuran Kemalangan Kita bukan tolak Lawyer Fee je tau...